Followers

Monday, November 14, 2011

Tahniah Rafikah! Selesai Juga Akhirnya!

Keluarga turut meraikan Hari Konvokesyen di UUM baru-baru ni (baby pun ikut sekali tu!)


Setelah setahun berhempas pulas belajar sambil bekerja, adikku Rafikah berjaya juga menamatkan pengajian Diploma Pendidikan.
Lepas ni dah confirm Ikah jadi cikgu tetap dan berpencen di sekolah kerajaan ok.

Teringat dulu semasa Ikah masih menuntut di UIAM, beria-ia beritahu tak mahu buat Diploma Pendidikan kerana tak minat jadi cikgu.

Walaubagaimanapun kita hanya merancang, penentuannya di tangan Allah jua.

Seminggu dua lagi Ikah akan melahirkan baby yang ketiga.
Kami mendoakan semoga Ikah dan baby selamat dan dilindungi Allah selalu. Amin.

Wednesday, June 29, 2011

Sidia Yang Terpinggir!

Nama saya Bobby. Sejak saya dilahirkan di rumah ini kira-kira 2 tahun yang lalu, mereka begitu memanjakan saya. Saya dibelai dan dimanjakan penuh kasih sayang. Segala keperluan saya terpenuhi tanpa satu pun yang kurang. Seminggu sekali saya dimandikan oleh Udin dengan syampu hingga bulu di badan saya harum dan cantik. Abah dan Kakak suka mendokong  dan mengajak saya bergurau senda di laman setiap petang. Mama juga sayangkan saya dan membelikan makanan yang sedap-sedap untuk saya. Bila malam saya suka temankan Amy di tempat tidurnya hingga dia lena baru saya keluar mengejar tikus.

Tetapi kebelakangan ini sejak 4 bulan yang lalu saya menyedari mereka kurang memberi perhatian kepada saya lagi. Ini semua gara-gara kedatangan Baby ke rumah ini. Saya masih ingat lagi hari pertama Baby muncul di rumah ini. Saya melihat dia bergerak-gerak di atas tilam kecil. Apabila saya menghampirinya untuk melihat lebih dekat lagi, Mama terjerit-jerit memanggil Kakak, "Kakak! Ambik Bobby nih, letak kat luar rumah! Mama takut nanti ia cakar muka Baby!"
Wah! Mama dah pandai curiga padaku! Saya sedikit kecewa.

Saya cuba menarik perhatian mereka, melompat dan memanjat ke sana ke mari. Memanggil dan mengeow namun mereka tidak mengendahkan pun. Mereka langsung tidak memandang ke arah saya. Perhatian mereka hanya pada Baby. Saya menjilat bulu-bulu di badan saya yang tidak terurus ini, sambil tertanya bilakah Udin akan mandikan saya yang semakin busuk ini? Saya tertunggu-tunggu bilakah Abah atau Kakak atau Angah akan mendokong saya? Saya melihat mereka begitu asyik mendokong dan mencium Baby yang semakin membulat itu. Saya sungguh-sungguh berjauh hati.

Inilah Baby yang saya maksudkan itu. Dia sangat cantik hingga membuat saya rasa cemburu takut kehilangan perhatian mereka yang saya sayangi.

Tuesday, June 28, 2011

Percayalah! Anda Tidak Pernah Keseorangan!

Ketahuilah betapa kehidupan ini sangat indah. Walaupun ada waktu kita ditimpa musibah dan masalah, kita tidak pernah keseorangan untuk menghadapinya. Percayalah, bahawa terdapat beberapa orang di dalam dunia ini yang sangat menyayangi dan sanggup mati kerana kita.

Siapakah beberapa orang itu? Entahlah. Tetapi percayalah, setiap malam sebelum  kita melelapkan mata, ingatlah selalu bahawa ada beberapa orang sedang merindui dan menyayangi kita, mendoakan keselamatan kita, kesejahteraan hidup kita. Siapakah dia? Entahlah. Mungkin dia adalah orang yang kita tidak kenal atau mungkin juga dia adalah orang yang kita tidak suka atau kita benci.
Percayalah bahawa ada beberapa keping hati yang sedang merindui kita. Kenapa dia menyayangi kita?
Kita sendiri tidak tahu. Mungkin kita sangat hebat di mata dan istimewa di hatinya tanpa pengetahuan kita pun.



anak-anakku Balqis, Amy, Salsabila dan Fatnun


anak saudaraku yang jauh di utara, Adam Ikhwan

Ketika kita di dalam kesedihan, jangan sesekali kita menganggap kehidupan ini adalah penuh penderitaan. Walaupun pelbagai ujian datang menimpa, kenanglah semula orang-orang yang menyayangi diri kita.Ketika kita merasakan seperti tiada apa-apa di dunia ini yang boleh kita banggakan, sebenarnya kita lupa di luar sana ada ramai orang yang berbangga dengan kita, menghargai diri kita. Kita sememangnya tidak pernah keseorangan.

Friday, June 24, 2011

Majlis Silaturahim Paduka 2011

Malam Silaturahim Paduka 2011, kali ini bertempat di Dataran Paduka Cemerlang SMKDMPR1 pada 24 Jun 2011.
Makan Malam gabungan ibubapa, guru, ahli korporat, ahli perniagaan , ahli politik...dari pelbagai bangsa, dari berbagai fahaman politik
Majlis yang sangat meriah dengan pelbagai persembahan murid-murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah dan penuntut universiti juga.


makan sikit-sikit aje ok, yang penting jaga kesihatan


Buah tangan untuk dibawa pulang


bertemu kenalan lama, Fadhilah Kamaruzaman


persembahan istimewa pasukan dikir barat SMKDMPR1

Tuesday, June 21, 2011

Akhirnya!

Siap akhirnya!
Setelah melalui pelbagai cabaran dan rintangan(halangan dalaman dan luaran), berjaya juga aku menyiapkan jahitan manik baju ini. Yeay!

Aku mula menjahit manik ini setelah bayiku berusia 2 bulan, kini bayiku berusia 4 bulan. Dua bulan baru siap. Fuhh!

Dua minggu pertama aku berjaya menyiapkan sebelah tangan baju ini.

Minggu-minggu seterusnya halangan yang datang bertali arus hingga aku hampir giveup

Pertama kali mencuba jahitan cabbage, kurang cantik berbanding orang yang dah biasa menjahitnya


Baju ini aku belum pakai lagi, mungkin hari ini kot(tapi tak janji tau!)


Selepas ini aku akan mencuba jahitan cabbage lagi. Harap-harap jahitanku tidak terperuk seperti ini.

Monday, June 20, 2011

Selamat Hari Bapa!

Harap tidak terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Bapa kepada semua bapa-bapa seluruh dunia.
Jadilah bapa, abah, pemimpin, motivator dan sahabat yang baik kepada anak-anak ok!

wajah seorang abah tahun 1989
  kami menimang anak sulung (Amierul Bahrain Shah)

wajah seorang abah sekarang tahun 2011
  kami menimang anak ke 8 (Siti Nur Ainina Najwa)


Bukan semua lelaki berkesempatan untuk menjadi seorang bapa, tetapi bagi mereka yang mendapat peluang ini, cubalah jadi yang terbaik umpama sepohon pokok yang rendang dan berbuah lebat dan manis, tempat berteduh bagi anak-anak serta dapat pula menikmati kasih sayang yang melimpah-ruah.

Friday, May 20, 2011

Apabila Wanita Berkata-kata!



Kadang-kadang mood wanita sering berubah-ubah terutama apabila usianya makin meningkat.
Pasangan perlu prihatin dan peka dengan perubahan perasaan wanita, cuba memahami dan tidak mudah mengalah untuk memenangi hatinya.

Antaranya cubalah memahami 'body language' wanita dan membaca yang tersirat di sebalik kata-kata yang diucapkannya.



Berikut contoh kata-kata yang bertentangan dengan kehendaknya yang sebenar :
bila dia berkata 'awak lupakanlah saya' bermaksud dia mahu pasangannya menyayanginya sepenuh hati tanpa ada orang lain.
bila dia berkata 'jauhkanlah dirimu dariku' itu bermakna dia mahu pasangannya mendekatinya dan membelainya dengan rasa cinta.
bila dia berkata 'awak jahat @ nakal @ gila' maksudnya dia benar-benar menyukai apa yang dilakukan atau diucapkan pasangannya.
bila dia berkata 'saya tiada apa-apa yang mahu diucapkan lagi' itulah tandanya terlalu banyak yang ingin diperkatakan olehnya tetapi tidak tahu di mana harus bermula.



Berhati-hatilah apabila berhadapan dengan wanita, kerana bicaranya adalah sebaliknya.

Thursday, May 19, 2011

Jadilah Contoh Untuk Adik-adik!

Anak-anakku
Asmat Salsabila dan
 Siti Nur Ainina Najwa


Gembira sangat hari ini, apabila mendapat panggilan telefon dari anak keduaku ini.
Keputusan peperiksaan Semester Tiga sangat cemerlang, 3.67.
Alhamdulillah, bersyukur yang tidak terhingga kepada Allah.

Tahniah untuk Kakak. Teruskanlah usaha demi masa depan yang gemilang.
Mama sentiasa mendoakan dan berusaha yang terbaik untuk anak-anak mama.
Terima kasih Kakak kerana dalam kesibukan dan kepenatan belajar dan menguruskan adik-adik semasa mama bersalin tempohari masih mampu meraih kejayaan sebaik ini.

Tahniah! Tahniah! Tahniah!

Tuesday, May 10, 2011

Cermin Hati


Awal pagi terima mesej seperti ini, apakah respon anda?


Apakah persepsi awal anda dengan mesej ini?

Dalam perhubungan adalah penting sebuah kejujuran dan kemesraan.Walaupun kita tidak perlu jadi reporter kepada dia, tetapi bila dia sudi berkongsi segalanya bermakna kehadirannya memberi bonus dalam hidup kita. Berkawan perlu ramai, tetapi mendapat sahabat bukan mudah. Bertuahlah anda jika mendapat sahabat sejati.

Sunday, May 8, 2011

Tanggungjawab : Sampai Menutup Mata!


2 orang cilik temankan aku ke Kota Bharu, melayang not merah dua tiga keping!

Cuti hujung minggu hari Jumaat satu hari terasa tak cukup, tak menang tangan nak settle semua kerja harian di rumah (walaupun anak-anak bantu). Hari Sabtu dah kena pergi sekolah hari ganti sempena cuti Hari Deepavali nanti. Petangnya bergegas ke Pusat Pembelajaran OUM Kota Bharu ambil buku pengajianku untuk semester baru 21 Mei pula. Lelah rasanya (aku bukan muda lagi).

Hari ini ke Kok Lanas pula, Kakak mendaftar Semester 5 di Politeknik Kota Bharu.
Dan malam pula Angah ada tuisyen. Bukan dekat tu, berulang alik Machang - Tanah Merah, tetapi bila dah biasa tak terasa sangat jauhnya. Cuma kos petrol meningkat sekali ganda.
Urusan dunia memang memenatkan. Semakin dikejar terasa semakin tak terkejar.
Tetapi sebagai ibubapa, tanggungjawab wajib dipikul juga kerana anak-anak adalah amanah dari Allah.

Friday, May 6, 2011

Musim Buah Mangga Dah Tiba!

Sehari dua ni bila aku pergi ke Kota Bharu melalui jalan Kuala Krai, pemandangan di tepi jalan yang menarik perhatian tentulah pokok-pokok mangga yang sedang berbuah dengan lebatnya.

Semasa aku masih remaja memang aku gemar makan buah mangga muda buat colek (orang Kelate kata colek buah pauh). Tetapi sekarang dah berubah, aku dah tak sanggup nak makan, tengok pun bagai terasa masamnya.


En A pun ada tanam juga pokok mangga di rumah kami 3 pokok. . Tahun ni dah mula berbuah dan aku sempat mengagihkan kepada jiran-jiran dan teman-temanku. Buahnya besar-besar dan lebat juga.

Buah mangga yang tua dah hampir masak


Bila pergi ke rumah emakku, halaman rumah emak pun nampak meriah dengan buah mangga epalnya yang sedang membesar. Anak-anakku nak petik nak makan colek pun dia keberatan nak kasi, emak cakap dia nak tunggu buah masak dulu.


 anak saudaraku  Syaza Syazwina di halaman rumah emakku

Pokok mangga yang En A tanam baru berumur 3 tahun tapi buahnya besar-besar
dan lebat
Awas! Ada pengawal yang menjaga buah mangga epal emak ni tau!


Aku pun dah tempah buah mangga ni dengan emak bila ia masak nanti

Thursday, May 5, 2011

Padah Mencangkung Di Mangkuk Tandas!


Aku selalu mengingatkan pelajar dan anak-anakku di rumah supaya tidak mencangkung semasa menggunakan tandas duduk. Selain menjijikkan orang lain untuk menggunakannya bila pelapiknya kotor, tandas ini boleh mengundang bahaya seperti gambar di atas.

Untuk maklumat yang lebih jelas, sila usha dalam blog ini [link]

Monday, May 2, 2011

Sayang Seribu Kali Sayang!


Baru-baru ini aku menghadiri kursus sehari berkaitan kerja kursus PMR di luar daerah.
Seramai lebih kurang 40 orang guru yang hadir melibatkan 3 buah PPD.
Ada seorang guru perempuan ni, aku bertembung dengannya di tandas.
Orangnya anggun jelita. Tetapi sayang dia mencangkung di mangkuk tandas.

Macam mana aku boleh tahu?
Kerana selepas dia keluar, aku yang masuk.
Dan dia keluar meninggalkan kesan kotoran kasutnya di atas pelapik mangkuk tandas.
Sungguh kurang sopan!

Sunday, May 1, 2011

Semenjak Kehadirannya



Siti Nur Ainina Najwa : hari pertama dilahirkan
(22 Februari 2011)


Semenjak dia hadir dalam hidupku, apa yang kubuat mahu cepat-cepat saja. Mandi cepat-cepat, berjalan cepat-cepat, makan-minum pun ala kadar saja.
Apalagi kalau dia mula memanggil, aku tak senang jika tak pergi mendapatkannya.
Perhatianku pada pengajian pun dah mula kurang, buat assingment pun hanya sekadar saja.
Bila ada tutorial hati ini bagai digamit mahu cepat-cepat pulang.

Di sekolah hatiku sangat merinduinya, selalu tertanya-tanya apakah dia sihat hari ini,  dia dah minum ke belum, adakah dia diuruskan dengan baik. Aku rasa masa begitu lambat berlalu. Kalau ada mesyuarat pun aku berat nak pergi.
Aku hanya mahu berada di sisinya selalu, puteriku sayang SITI NUR AININA NAJWA.

Sewaktu berusia dua minggu

Wajah sekarang : berusia kira-kira dua bulan
(kuat menyusu ; patutlah montel!)

Wednesday, April 27, 2011

SMKDMPR(1) : Sekolah Cemerlang 2008


wajahku pada tahun 2010 bersama sebahagian dari rakan guru berjumlah 145 orang


Menyelak majalah tahunan sekolah iaitu Majalah Paduka, rasanya harga Rm15 amat berbaloi. Kualiti dan isi dari kulit ke kulit memang sangat membanggakan kami sebagai Warga Paduka.

 Warga pendidik SMKDMPR(1) yang komited dan cekap menjalankan tugas kini berjumlah 145 orang, bertanggungjawab mendidik pelajar yang telah mencecah angka 2065 orang.

Tanpa sedar dah 11 tahun aku berkhidmat di sini.

Tuesday, April 26, 2011

Sahabat : Percayailah Aku!


Setelah sekian lama tidak menulis, rindu rasanya pada dunia blogging. Hanya di sini kurasakan diriku lepas bebas. Menulis apa sahaja dan berharap aktiviti ini dapat kuteruskan sampai bila-bila.

Sebagai manusia biasa, kita perlu menyedari tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah. Mengajak manusia berbuat kebaikan dan meninggalkan yang mungkar. Terasa bahagia di jiwa ini setiapkali dapat memberikan kegembiraan kepada orang-orang di sekelilingku.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah sebuah perjalanan menuju kehidupan sebenar yang kekal abadi.
Kita hanya perlu meneruskannya dengan penuh keredhaan tanpa menoleh ke belakang.

Aku teringat kepada seorang sahabatku yang sedang diuji, tetapi dia sangat tabah. Aku kagum kerana dia tidak melatah dan terus bangkit meneruskan kehidupan ini tanpa keluhan. Mungkin aku seorang yang bertuah kerana kesudiannya berkongsi rasa denganku. Aku dapat  rasakan kehadiranku benar-benar dihargai.

Sungguh aku percaya ada hikmah di sebalik setiap kejadian.