Followers

Thursday, April 8, 2010

HBPE1103 : PENGENALAN PENDIDIKAN JASMANI 2


Topik 5 : Penilaian Dan Pengukuran Dalam Pendidikan Jasmani
Soalan 1
a)      Definisikan pengukuran dalam Pendidikan Jasmani?
b)      Terdapat 2 aspek penting dalam penilaian Pendidikan Jasmani, huraikan?
c)      Cirikan dan beri contoh Penilaian Formatif.
d)      Kecergasan yang berkait dengan perlakuan motor terdiri dari komponen-komponen yang mempunyai kesan dalam proses menghasilkan perlakuan yang bermutu. Huraikan mana-mana 3 komponennya tersebut?
e)      Cirikan elemen afektif dalam penilaian?

Jawapan 1
a)      Pengukuran merupakan suatu kaedah pemerolehan keputusan bersifat kuantitatif atau angka. Apabila guru melaksanakan satu-satu pengukuran, keputusan pengukuran perlu ditafsirkan dengan bentuk keputusan yang bermakna.
Contoh :
Semasa mengukur tahap kecergasan murid, anugerah emas diberi bagi pencapaian satu-satu komponen pengukuran tersebut.

b)      Seseorang guru Pendidikan Jasmani akan terlibat dalam penilaian pencapaian setiap murid dengan menggunakan pelbagai jenis ujian.
Pemilihan ujian yang tidak bersesuaian dengan objektif menunjukkan  sikap guru yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum guru memilih satu-satu jenis ujian guru perlu mengetahui dan memikirkan 2 aspek penting dalam penilaian Pendidikan Jasmani iaitu :
·         Sama ada menggunakan jenis penilaian ujian berasaskan kriteria atau  ujian berasaskan norma
·         Mengetahui apakah kriteria utama yang memastikan kebolehpercayaan dan kesahan terhadap ujian

c)      Penilaian dalam Pendidikan Jasmani yang biasa digunakan di peringkat sekolah dibahagikan kepada 2 bentuk iaitu Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif.

Penilaian Formatif
Ia dijalankan sepanjang tahun persekolahan, digunakan bagi mengenalpasti perkembangan pembelajaran yang telah dilalui pelajar.
Ia dapat membantu guru membimbing pelajar yang agak ketinggalan bagi mempertingkatkan kemajuannya secara tersusun.
Melalui penilaian ini guru mengetahui sama ada objektif telah tercapai atau tidak.
Contoh a
Apabila kemahiran tendangan asas bola sepak diajar, ujian semula perlu dilakukan bagi mengetahui tahap penguasaan murid  sebelum guru beralih kepada kemahiran seterusnya. Jika keputusan yang diterima sebaliknya guru boleh menambah latih tubi kemahiran atau memodifasikan  cara latihan.
Contoh b
Ujian secara lisan bagi melihat kefahaman murid, barulah guru memindahkan topic pengajaran.


d)      Kecergasan yang berkait dengan perlakuan motor terdiri dari komponen-komponen yang mempunyai kesan dalam proses menghasilkan perlakuan yang bermutu. Komponen tersebut meliputi kepantasan, kuasa, ketangkasan, koordinasi, imbangan dan masa tindak balas.
·         Kepantasan
Merupakan kemampuan seseorang individu melakukan pergerakan pantas dalam tempoh yang singkat. Kepantasan berkait rapat dengan kekuatan otot dan masa tindak balas.

·         Kuasa
Adalah kemampuan otot menghasilkan daya atau pergerakan yang mendadak dalam tempoh singkat. Contoh pukulan yang kencang dalam fasa pukulan badminton.

·         Ketangkasan
Merupakan kebolehan melakukan pergerakan yang berulang-ulang kearah yang berbeza-beza dengan pantas dan efisien. Seseorang pemain yang tangkas berupaya melakukan penukaran posisinya ketika mengawal imbangan bola.
Kaedah ‘side-step’ biasa digunakan dalam permainan ragbi apabila pemain menukar arah secara tiba-tiba sambil membawa bola bagi mengelirukan pasukan lawan.

e)      Elemen Afektif termasuk salah satu elemen yang diukur dalam Pendidikan Jasmani. Ia bermaksud mengukur pencapaian pelajar dari segi sikap dan nilai yang boleh didapati melalui pungutan data dari pelbagai cara.
Cara-cara merangkumi :
·         Pemerhatian tingkah laku pelajar semasa beraktiviti
·         Mendengar komen mereka
·         Pelajar mengisi borang soal selidik

Alat penilaian yang digunakan:
·         Senarai semak, pemerhatian dan tingkah laku pelajar
·         Rekod-rekod anekdot
·         Temuduga
·         Soal selidik aneka pilihan
·         Skala pemerhatian
Perkembangan afektif  murid adalah salah satu domain yang membentuk nilai pendidikan di dalam Pendidikan Jasmani. Isi kandungan yang menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, mematuhi peraturan, disiplin, semangat kesukanan merupakan asas penting dalam Pendidikan Jasmani. Agak sukar mengukur tahap nilai-nilai murni pada pelajar  kerana ia bersifat subjektif. Namun guru perlu meneruskan usaha penerapan nilai agar perkembangan afektif dan sosial ke atas pelajar adalah seiring dengan matlamat Pendidikan Jasmani.

Soalan 2
a)      Nyatakan tujuan utama penilaian dalam Pendidikan Jasmani?
b)      Ciri ujian berasaskan norma
c)      Cirikan dan beri contoh Penilaian Sumatif.
d)      Cirikan elemen kognitif dalam penilaian?
Jawapan 2
a)      Tujuan utama penilaian Pendidikan Jasmani
·         Menentukan aras kemampuan murid
·         Tumpuan kepada murid
·         Merangsang dan memotivasikan murid
·         Menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
·         Membantu pendokumentasian dan penyelidikan
·         Menentukan kumpulan murid berasaskan kebolehan

b)      Ujian Berasaskan Norma digunakan apabila guru mahu mentafsir kemajuan prestasi dalam satu-satu ujian. Ia berupaya membandingkan keputusan di kalangan murid dalam satu darjah atau pun kumpulan.
Perbandingan ini boleh menentukan gred yang diperolehi oleh murid dalam satu-satu ujian.
Norma dalam Pendidikan Jasmani sering dikaitkan dalam pengukuran berat, tinggi, umur dan aras gred.

c)      Penilaian Sumatif sering digunakan pada peringkat akhir sesuatu bab pengajaran.
Iaitu apabila sesuatu bab dilaksanakan pengajaran dan pembelajarannya, penilaian dilakukan pada akhir penggal persekolahan.
Tujuan utama untuk mengetahui tahap penguasaan dan pencapaian murid bagi satu-satu kelas atau kumpulan.
Penilaian yang digunakan berbentuk pemarkahan yang mengutamakan aras gred atau diberikan pangkat kepada pencapaian yang dikuasai.
Ujian rujukan kriteria dan rujukan norma sering digunakan dalam Penilaian Sumatif.
Contoh a
Di akhir pengajaran kemahiran sukan hoki, guru mengadakan satu perlawanan hoki bagi menilai kemampuan penguasaan murid. Permainan akan dipantau dan guru boleh memberikan gred kepada setiap murid sama ada ‘baik’, ‘sederhana’ atau ‘lemah’.
Contoh b
Guru mengadakan penilaian bertulis bagi menguji kefahaman murid pada akhir penggal dengan pelbagai soalan objektif yang meliputi semua bab pengajaran. Markah yang diperolehi murid menentukan tahap kemahiran dan penguasaan murid.

d)      Elemen Kognitif yang diukur dalam Pendidikan Jasmani merujuk kepada tahap kefahaman dan pengetahuan murid dalam kesemua topik Pendidikan Jasmani.
Murid diuji dari aspek kefahaman dan pengetahuan ketika sedang melaksanakan sesuatu bidang kemahiran.
Murid juga perlu diterap dan dilatih untuk mentafsir, mengguna dan melaksanakan kemahiran berdasarkan teknik-teknik yang diajar. Apabila murid mula mempraktikkan sesuatu kemahiran, kefahaman dan tahap pengetahuan boleh dijadikan kayu pengukur kepada komponen kognitif. Kuiz dan soal jawab lisan juga dapat membantu menguji tahap pengetahuan dan kefahaman murid.









1 comment:

  1. http://www.jobdirumah.com/adzam84

    ReplyDelete