Followers

Friday, April 23, 2010

Sokong Membawa Rebah!

Wanita mudah berpaut kepada dahan yang paling hampir kepadanya

Setiap hari media menyiarkan kisah wanita Melayu yang terpedaya, teraniaya, dipukau, menggugurkan anak secara haram, meninggalkan keluarga mengikut kekasih atau ditangkap kerana membawa dadah. Serta seribu satu kisah yang tragis. Penyebabnya hanya satu, iaitu lelaki.

Wanita Melayu mudah terpedaya. Itu dinyatakan sendiri oleh penganalisis jenayah yang terkenal, Kamal Affendi Hashim sewaktu mengulas isu wanita berusia yang tergila-gilakan lelaki kulit hitam. Wanita tersebut telah mengikut segala kemahuan kekasihnya hingga kehilangan segalanya, wang ringgit, keluarga dan harga diri.

Walau bagaimana ia bermula, atau siapa yang memulakan namun akhirnya risiko ditanggung oleh wanita juga. Akhirnya wanita juga yang dituduh bersalah.
Jika ia seorang balu kematian suami apabila berkahwin dengan lelaki berkeluarga ia tetap dipersalahkan kerana dianggap merampas suami orang, bapa orang. Namun jika ia kekal sebagai balu, segala kesusahannya membesarkan anak-anak terpaksa dipikul sendiri tanpa bantuan suami.

Adalah tersangat malang apabila wanita ini berkahwin dan kemudian dipersiakan oleh suami keduanya pula. Kisah penderaan anak oleh bapa tiri atau teman lelaki selalu berlaku di negara kita hingga membawa kepada kematian. Malah memperkosa anak tiri serta mengikis wang isterinya sudah menjadi tabiat mereka pula agaknya. Nampaknya orang lelaki sekarang mengambil alih tempat ibu tiri yang dimitoskan zaman dahulu kala sebagai kejam dan zalim.

Gadis Melayu perlu selalu berwaspada dengan janji lelaki kerana lelaki sukar mengotakan janji apabila segala yang mereka idamkan sudah diperolehi.
Apalagi jika mendapatkannya dengan cara yang tersangat mudah.
Berhati-hatilah sewaktu diberi harapan dan kasih sayang kerana ia mungkin palsu semata-mata.

Sandarkanlah ketaqwaan hanya kepada Allah swt kerana Dia tidak pernah memungkiri janji.

Tuesday, April 13, 2010

Jasmine: Simbol Sebuah Cinta!

jasmine2

Sentimental benar perasaan hari ini, merindui orang-orang yang telah tiada di sisi, mereka yang telah pergi menyahut seruan Ilahi, meninggalkan dunia yang fana ini...dan tak mungkin akan kembali lagi.

Nenekku sukakan bunga  Jasmine, dia tanam pokok ini sekeliling rumah. Atukku yang gemburkan tanah dan letakkan baja.Waktu senja ia mengharum nenekku petik dan taburkan atas sejadah sementara menunggu atuk mengambil wudhuk. Ada waktu apabila nenek terlewat atukku pula yang bentangkan sejadah dan menunggu nenek.
Nenekku taburkan bunga jasmine dan cempaka di atas katil Paksu, 'nanti petang Khamis ni Paksu dan Cik Ani balik!' ujar nenek.
jasmine3
Aku hanya melihat kasih sayang di antara mereka yang tidak pernah terucapkan.
Namun aku tahu cinta mereka,
harum
suci
abadi

Aku berdoa semoga mereka berada di dalam lindungan kasih sayangMu ya Allah!

Sunday, April 11, 2010

HBPE1103 : PENGENALAN PENDIDIKAN JASMANI 3


Topik 7 : Pengajaran Dan Pembelajaran Pendidikan Jasmani
Soalan 1
a)      Definisi apakah pendekatan pembelajaran?
b)      Cirikan pendekatan tradisional.
c)       Terdapat 3 kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru berhubung kait dengan kaedah perbincangan .  Nyatakan kemahiran tersebut.
Jawapan 1
a)      Pendekatan merupakan pelbagai sumber latihan dan prinsip yang menjadi pegangan dalam sesuatu pengajaran. Pendekatan merujuk kepada cara untuk mencapai objektif jangka panjang dalam satu mata pelajaran.
b)      Ciri-ciri pendekatan tradisional:
·         Kurikulum ditetapkan
·         Mengutamakan pengajaran
·         Guru menentukan tugasan
·         Tugasan yang sama untuk semua pelajar
·         Guru menentukan ujian piawai
·         Mengukur p&p mengikut gred
·         Berfokuskan guru
c)       Tiga kemahiran yang perlu dikuasai guru berhubung kait dengan kaedah perbincangan:
·         Kemahiran menyoal
·         Kemahiran mengurus aliran maklumat atau jawapan
·         Reaksi terhadap soalan pelajar
Soalan 2
a)      Definisikan kaedah.
b)      Nyatakan ciri-ciri pendekatan.
c)       Terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.Perihalkan 3 pendekatan yang biasa digunakan iaitu pendekatan Tradisonal, pendekatan Humanistik dan  pendekatan Gabungan.
Jawapan 2
a)      Kaedah merupakan suatu perancangan atau prosedur dalam melaksanakan satu pengajaran yang teratur, kemas dan sistematik. Erti kata lain kaedah merupakan cara mendekati sesuatu objektif dengan langkah-langkah yang tersusun dan teratur.
b)      Ciri-ciri pendekatan:
·         Objektif yang hendak dicapai berbentuk jangka masa panjang
·         Pendekatan berdasarkan teori dan model pengajaran
·         Merangkumi gaya, kaedah dan teknik yang akan digunakan
·         Bersifat aksiomatik, iaitu diterima tanpa keraguan
·         Mencerminkan satu falsafah

c)       Tiga pendekatan yang biasa digunakan ialah:
i)        Pendekatan Tradisional
o   Menggunakankan prinsip pengajaran tradisional
o   Guru memberi arahan dan pelajar mengikut arahan
o   Pembelajaran sehala
o   Guru sebagai pengajar
o   Kebaikan ialah mudah dirancang dan diurus
o   Sesuai diaplikasikan dalam kegiatan berisiko tinggi atau kemahiran khas
Ciri-ciri:
o   Kurikulum yang ditetapkan oleh kemementerian pelajaran
o   Mementingkan pengajaran
o   Guru menentukan tugasan yang perlu dilaksanakan oleh pelajar
o   Tugasan yang sama diberikan kepada semua pelajar
o   Guru menentukan ujian piawai
o   Mengukur pengajaran dan pembelajaran mengikut gred
o   Berfokuskan guru
ii)       Pendekatan Humanistik
o   Menumpukan kepada apa yang berlaku dalam diri seseorang
iaitu perasaan atau emosinya
o   Menekankan cara berfikir, pengamatan dan interpretasi individu
terhadap sesuatu atau peristiwa
o   Kuasa motivasi seseorang ialah kecenderungannya untuk berkembang serta
mencapai hasrat diri
o   Menitikberatkan perkembangan secara bebas, iaitu pelajar bebas belajar apa yang dikehendaki dan ingin diketahui.
o   Guru sebagai fasilitator yang memberi motivasi tentang kepentingan belajar serta merangsang proses pembelajaran di kalangan pelajar
Ciri-ciri
o   Guru menentukan kurikulum sendiri dan murid menetapkan matlamat untuk membuat pilihan dan bertindak
o   Mementingkan pembelajaran
o   Murid menentukan tugasan sendiri
o   Tidak mementingkan ujian piawai
o   Gred bukan pengukur pengajaran
o   Guru berperanan mencungkil potensi murid, memberi  galakan dan maklum balas perlakuan aktiviti


iii)     Pendekatan Gabungan
o   Menggabungkan pendekatan Tradisional dan Humanistik.
o   Diaplikasikan berdasarkan kandungan dan risiko mata pelajaran, keadaan persekitaran serta ciri-ciri pelajar
o   Guru perlu membuat analisis keadaan fizikal, ciri pelajar dan jenis risiko sebelum memilih gaya, kaedah dan teknik p&p
o   Digunakan secara meluas di Negara kita
Ciri-ciri
o   Kurikulum ditentukan oleh kementerian tetapi guru  masih boleh mencapai objektif kurikulum dengan cara sendiri
o   Guru memilih kaedah p&p berdasarkan kesesuaian pelajar dan kurikulum
o   Guru menganalisis ciri-ciri pelajar sebelum memberi  tugasan mengikut keupayaan pelajar
o   Ujian berasaskan ciri-ciri pelajar
o   Pelajar dan sekolah mempunyai ruang untuk menilai diri sendiri
o   Memperluaskan penilaian gred dengan mempelbagaikan kayu pengukur, penilai dan  bentuk ujian
o   Guru berperanan sebagai fasilitator atau pengajar mengikut keperluan objektif.









                                 

Friday, April 9, 2010

Melayu Jangan Hilang Jati Diri!

Mengapa pelajar sekarang suka menyebut perkataan yang tidak baik?
Aku biasa mendengar ucapan-ucapan berikut :
'Cikgu kalau senyum, cantik nak mampus!'
'Perut aku sakit giler malam tadi, tak tau aku makan menatang apa!'
'Mu ni rajin nak mampus, lambat lagi la nak pereksa!'

Aku selalu juga menegur bila sampai ke telingaku.
Dan jawapan yang aku dapat ialah :
'Orang lain pun sebut gitu jugak, cikgu!'

Agama Islam memberi garis panduan selengkapnya melalui Al-Quran dan Hadis.Bukankah jika kita menyebut sesuatu perkara itu secara berulang-ulang ia akan menjadi doa?
Mengapa setiap hari sentiasa berdoa 'nak mampus'? Takut pula kelak Allah makbulkan doa tiba-tiba mati pun jadi 'mampus', lebih hina dari 'mati katak'!
Orang tua zaman dahulu begitu lembut mendidik anak-anak hanya melalui kiasan dan bidalan sahaja, tidak pula menyebut  'perompak itu mampus katak ditembak polis!'

Mengapa harus jadi orang lain?
Jadilah diri sendiri!
Jati diri perlu dibentuk, bukan ditiru!

HBLS1103 : Pengenalan Kemahiran Hidup


Topik 4 : Perolehan dan Pengurusan Mesin, Peralatan dan Bahan
Soalan 1
a)      Terangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan semasa penerimaan barang-barang dari pembekal atau Stor Pusat.
b)      Nyatakan borang-borang yang digunakan untuk pengurusan harta modal, inventori dan alat pejabat.
Jawapan 1
a)      Langkah-langkah penerimaan
·         Semak nota atau bil serahan, nota bungkusan dan invois
·         Semak dan hitung kuantiti yang diterima
·         Memberi akuan terima hanya setelah dipastikan semua barang yang diterima adalah mengikut spesifikasi, berkeadaan baik serta kuantiti yang mencukupi
·         Lapor kepada pegawai atasan dengan serta-merta sekiranya ada barang-barang yang rosak dan kurang bermutu
·         Catat dalam Baucer Penerimaan bagi barang-barang yang dikembalikan kepada pembekal
·         Rekod dalam Kad Kawalan Stok/Kad Petak/Lejar/Daftar Stok Bekalan Pejabat dengan secepat mungkin
b)      Borang-borang yang digunakan untuk pengurusan harta modal, inventori dan bekalan pejabat
·         Kew 312, 312A   -              Daftar Harta Modal
·         Kew 313               -              Daftar Inventori
·         Kew 314               -              Daftar Stok Bekalan Pejabat
·         Kew 315               -              Daftar Pergerakan Harta Modal dan Inventori
Soalan 2
a)      Apakah yang perlu dibuat sekiranya sewaktu verifikasi stok didapati terdapat lebihan barang-barang berbanding dengan rekod dan siapa yang perlu bertindak?
b)      Terangkan apakah prosedur pelupusan bagi barang yang bernilai tidak melebihi  RM100.00 bagi setiap  satu barang dan tidak melebihi RM5000.00 keseluruhannya.
Jawapan 2
a)      Pegawai pengawal hendakah membuat perakuan melalui borang Kew 300-T bahawa barang-barang di bawahnya telah diverifikasikan menurut lat-masa yang dikehendaki oleh Panduan 198.
Sekiranya verifikasi itu menunjukkan perbezaan, laporan Kew 300-U1 hendaklah  disertakan bersama perakuan di atas.

b)      Prosedur Pelupusan bagi barang-barang yang bernilai tidak melebihi RM100.00 bagi setiap satu barang dan tidak melebihi RM5000.00 keseluruhannya:
·         Pengetua hendaklah melantik 2 orang Pegawai Pemeriksa yang tiada kaitan dengan pembelian dan pengurusan barang-barang tersebut
·         Pegawai Pemeriksa membuat  pemeriksaan dan membuat laporan dalam
 Borang Kew 300V
·         Pengetua menyemak laporan Pegawai Pemeriksa dan mengesahkan syor Pegawai Pemeriksa. Laporan dalam Borang Kew 300V hendaklah disertakan 5 salinan bersama permohonan pelupusan kepada Jabatan Pelajaran Negeri atau Jabatan Pelajaran Teknikal
·         Setelah menerima kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Negeri , Pengetua hendaklah membuat pelupusan mengikut cara yang diluluskan dalam tempoh 3 bulan dengan disaksikan oleh Pegawai Pemeriksa
·         Setelah pelupusan dijalankan, satu laporan lengkap dalam format Kew 300X hendaklah dihantar kepada:
@ Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia
@ Perbendaharaan Malaysia (Bahagian Pengurusan Kontrak dan Bekalan)
@ Ketua Audit Negara atau wakil tempatan
@ Pejabat Audit Sekolah tempatan
·         Sekiranya barang-barang tersebut dihadiahkan, satu surat pengesahan penerimaan dari penerima barang-barang tersebut hendaklah dilampirkan bersama-sama laporan di atas
·         Jika barang-barang tadi dilupuskan dengan cara dijual, semua hasil hendaklah dikreditkan terus dalam kumpulan wang Persekutuan disatukan dan satu salinan penyata pemungut hendaklah dilampirkan dalam laporan bersama borang Kew 300X tadi.




















Thursday, April 8, 2010

HBPE1103 : PENGENALAN PENDIDIKAN JASMANI 2


Topik 5 : Penilaian Dan Pengukuran Dalam Pendidikan Jasmani
Soalan 1
a)      Definisikan pengukuran dalam Pendidikan Jasmani?
b)      Terdapat 2 aspek penting dalam penilaian Pendidikan Jasmani, huraikan?
c)      Cirikan dan beri contoh Penilaian Formatif.
d)      Kecergasan yang berkait dengan perlakuan motor terdiri dari komponen-komponen yang mempunyai kesan dalam proses menghasilkan perlakuan yang bermutu. Huraikan mana-mana 3 komponennya tersebut?
e)      Cirikan elemen afektif dalam penilaian?

Jawapan 1
a)      Pengukuran merupakan suatu kaedah pemerolehan keputusan bersifat kuantitatif atau angka. Apabila guru melaksanakan satu-satu pengukuran, keputusan pengukuran perlu ditafsirkan dengan bentuk keputusan yang bermakna.
Contoh :
Semasa mengukur tahap kecergasan murid, anugerah emas diberi bagi pencapaian satu-satu komponen pengukuran tersebut.

b)      Seseorang guru Pendidikan Jasmani akan terlibat dalam penilaian pencapaian setiap murid dengan menggunakan pelbagai jenis ujian.
Pemilihan ujian yang tidak bersesuaian dengan objektif menunjukkan  sikap guru yang tidak bertanggungjawab.
Sebelum guru memilih satu-satu jenis ujian guru perlu mengetahui dan memikirkan 2 aspek penting dalam penilaian Pendidikan Jasmani iaitu :
·         Sama ada menggunakan jenis penilaian ujian berasaskan kriteria atau  ujian berasaskan norma
·         Mengetahui apakah kriteria utama yang memastikan kebolehpercayaan dan kesahan terhadap ujian

c)      Penilaian dalam Pendidikan Jasmani yang biasa digunakan di peringkat sekolah dibahagikan kepada 2 bentuk iaitu Penilaian Formatif dan Penilaian Sumatif.

Penilaian Formatif
Ia dijalankan sepanjang tahun persekolahan, digunakan bagi mengenalpasti perkembangan pembelajaran yang telah dilalui pelajar.
Ia dapat membantu guru membimbing pelajar yang agak ketinggalan bagi mempertingkatkan kemajuannya secara tersusun.
Melalui penilaian ini guru mengetahui sama ada objektif telah tercapai atau tidak.
Contoh a
Apabila kemahiran tendangan asas bola sepak diajar, ujian semula perlu dilakukan bagi mengetahui tahap penguasaan murid  sebelum guru beralih kepada kemahiran seterusnya. Jika keputusan yang diterima sebaliknya guru boleh menambah latih tubi kemahiran atau memodifasikan  cara latihan.
Contoh b
Ujian secara lisan bagi melihat kefahaman murid, barulah guru memindahkan topic pengajaran.


d)      Kecergasan yang berkait dengan perlakuan motor terdiri dari komponen-komponen yang mempunyai kesan dalam proses menghasilkan perlakuan yang bermutu. Komponen tersebut meliputi kepantasan, kuasa, ketangkasan, koordinasi, imbangan dan masa tindak balas.
·         Kepantasan
Merupakan kemampuan seseorang individu melakukan pergerakan pantas dalam tempoh yang singkat. Kepantasan berkait rapat dengan kekuatan otot dan masa tindak balas.

·         Kuasa
Adalah kemampuan otot menghasilkan daya atau pergerakan yang mendadak dalam tempoh singkat. Contoh pukulan yang kencang dalam fasa pukulan badminton.

·         Ketangkasan
Merupakan kebolehan melakukan pergerakan yang berulang-ulang kearah yang berbeza-beza dengan pantas dan efisien. Seseorang pemain yang tangkas berupaya melakukan penukaran posisinya ketika mengawal imbangan bola.
Kaedah ‘side-step’ biasa digunakan dalam permainan ragbi apabila pemain menukar arah secara tiba-tiba sambil membawa bola bagi mengelirukan pasukan lawan.

e)      Elemen Afektif termasuk salah satu elemen yang diukur dalam Pendidikan Jasmani. Ia bermaksud mengukur pencapaian pelajar dari segi sikap dan nilai yang boleh didapati melalui pungutan data dari pelbagai cara.
Cara-cara merangkumi :
·         Pemerhatian tingkah laku pelajar semasa beraktiviti
·         Mendengar komen mereka
·         Pelajar mengisi borang soal selidik

Alat penilaian yang digunakan:
·         Senarai semak, pemerhatian dan tingkah laku pelajar
·         Rekod-rekod anekdot
·         Temuduga
·         Soal selidik aneka pilihan
·         Skala pemerhatian
Perkembangan afektif  murid adalah salah satu domain yang membentuk nilai pendidikan di dalam Pendidikan Jasmani. Isi kandungan yang menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, mematuhi peraturan, disiplin, semangat kesukanan merupakan asas penting dalam Pendidikan Jasmani. Agak sukar mengukur tahap nilai-nilai murni pada pelajar  kerana ia bersifat subjektif. Namun guru perlu meneruskan usaha penerapan nilai agar perkembangan afektif dan sosial ke atas pelajar adalah seiring dengan matlamat Pendidikan Jasmani.

Soalan 2
a)      Nyatakan tujuan utama penilaian dalam Pendidikan Jasmani?
b)      Ciri ujian berasaskan norma
c)      Cirikan dan beri contoh Penilaian Sumatif.
d)      Cirikan elemen kognitif dalam penilaian?
Jawapan 2
a)      Tujuan utama penilaian Pendidikan Jasmani
·         Menentukan aras kemampuan murid
·         Tumpuan kepada murid
·         Merangsang dan memotivasikan murid
·         Menilai keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran
·         Membantu pendokumentasian dan penyelidikan
·         Menentukan kumpulan murid berasaskan kebolehan

b)      Ujian Berasaskan Norma digunakan apabila guru mahu mentafsir kemajuan prestasi dalam satu-satu ujian. Ia berupaya membandingkan keputusan di kalangan murid dalam satu darjah atau pun kumpulan.
Perbandingan ini boleh menentukan gred yang diperolehi oleh murid dalam satu-satu ujian.
Norma dalam Pendidikan Jasmani sering dikaitkan dalam pengukuran berat, tinggi, umur dan aras gred.

c)      Penilaian Sumatif sering digunakan pada peringkat akhir sesuatu bab pengajaran.
Iaitu apabila sesuatu bab dilaksanakan pengajaran dan pembelajarannya, penilaian dilakukan pada akhir penggal persekolahan.
Tujuan utama untuk mengetahui tahap penguasaan dan pencapaian murid bagi satu-satu kelas atau kumpulan.
Penilaian yang digunakan berbentuk pemarkahan yang mengutamakan aras gred atau diberikan pangkat kepada pencapaian yang dikuasai.
Ujian rujukan kriteria dan rujukan norma sering digunakan dalam Penilaian Sumatif.
Contoh a
Di akhir pengajaran kemahiran sukan hoki, guru mengadakan satu perlawanan hoki bagi menilai kemampuan penguasaan murid. Permainan akan dipantau dan guru boleh memberikan gred kepada setiap murid sama ada ‘baik’, ‘sederhana’ atau ‘lemah’.
Contoh b
Guru mengadakan penilaian bertulis bagi menguji kefahaman murid pada akhir penggal dengan pelbagai soalan objektif yang meliputi semua bab pengajaran. Markah yang diperolehi murid menentukan tahap kemahiran dan penguasaan murid.

d)      Elemen Kognitif yang diukur dalam Pendidikan Jasmani merujuk kepada tahap kefahaman dan pengetahuan murid dalam kesemua topik Pendidikan Jasmani.
Murid diuji dari aspek kefahaman dan pengetahuan ketika sedang melaksanakan sesuatu bidang kemahiran.
Murid juga perlu diterap dan dilatih untuk mentafsir, mengguna dan melaksanakan kemahiran berdasarkan teknik-teknik yang diajar. Apabila murid mula mempraktikkan sesuatu kemahiran, kefahaman dan tahap pengetahuan boleh dijadikan kayu pengukur kepada komponen kognitif. Kuiz dan soal jawab lisan juga dapat membantu menguji tahap pengetahuan dan kefahaman murid.









HBPE1103 : PENGENALAN PENDIDIKAN JASMANI


Topik 6 : Tafsiran Sukatan Pelajaran  Pendidikan Jasmani
Soalan 1
a)      Pendidikan Jasmani berlandaskan kepada tiga kategori pembangunan. Nyatakan kategorinya.
b)      Pengalaman Pendidikan Jasmani merangkumi tiga aspek penting. Nyatakan.
c)       Nyatakan kemahiran berfikir yang selalu diserapkan dalam mengajar Pendidikan Jasmani.
d)      Motor melibatkan aspek perihal kualiti pergerakan individu di mana perlakuan adalah mencapai tahap berkemahiran. Aspek ini melibatkan beberapa faktor yang asas. Kategorikan.
e)      Definisikan Rancangan Kerja Tahunan.

Jawapan 1
a)      Pembangunan fizikal
Pembangunan motor
Pembangunan kognitif
Pembangunan sosial, emosi dan afektif

b)      Penglibatan murid secara aktif dan selamat
Interaksi yang kreatif dengan bahan, alat dan rakan
Penyimpanan rekod kegiatan murid sebagai bukti bahawa pembelajaran telah berlaku

c)       Membuat kategori
Menerangkan sebab
Mengusul periksa andaian
Membuat ramalan
Mencipta metafora
Mencipta definisi

d)      Imej tubuh
Kawalan objek
Orientasi ruang (spatial)
Kemahiran lokomotor  dan bukan lokomotor
Perkembangan kemahiran
Kecergasan

e)      Rancangan Kerja Tahunan merupakan rancangan untuk melaksanakan sukatan pelajaran secara terperinci mengikut keperluan kelas yang diajar oleh seseorang guru.
Ia menjadi panduan guru menyediakan pelajarannya, bagi memastikan pengajar tidak tersasar dari objektif asalnya.

Rancangan Kerja Tahunan yang baik dan berfungsi membenarkan seseorang guru mengubahsuaikan  pelajarannya apabila perlu, kerana rancangan ini tidak semestinya diikuti sepenuhnya di sepanjang tahun persekolahan.

Soalan 2
a)      Berikan contoh kesepaduan matapelajaran lain dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani.
b)      Nyatakan elemen-elemen pembangunan afektif dalam pengajaran dan pembelajaran
c)       Program Pendidikan Jasmani adalah program pendidikan yang berobjektifkan……Nyatakan?
d)      Nyatakan faktor-faktor yang mempengaruhi persekitaran pengajaran?
e)      Huraikan garis panduan yang digunakan dalam menyediakan Rancangan Kerja Tahunan Pendidikan Jasmani.
Jawapan 2
a)      Contoh kesepaduan
·         Bahasa – penulisan mengenai sukan, sikap yang positif, kecergasan, pengekalan aktiviti dan jernal pemakanan yang berkaitan dengan kesihatan

·          Kajian Sosial – perkaitan sukan dengan sejarah dan permainan daripada pelbagai sosio budaya


·         Matematik – pengiraan markah di dalam sukan iaitu mencampur, menolak, membahagi dan mendarab di dalam mendapatkan sesuatu keputusan

·         Sains – pendedahan kepada konsep pergerakan, otot, tuas dan fungsi-fungsi tubuh manusia


·         Muzik – penghasilan bunyi yang bersesuaian untuk pergerakan manusia

·         Lukisan – melukis pelbagai simetri dan bentuk yang dapat dilakukan oleh badan manusia semasa melakukan aktiviti serta melabel tubuh manusia

b)      Sikap
Apresiasi
Nilai

c)       Perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor

d)      Saiz  kelas
Peralatan
Kemudahan

e)      Garis panduan semasa menyediakan Rancangan Kerja Tahunan Pendidikan Jasmani:
·         Penyelarasan
Rancangan Kerja Tahunan (RKT) perlu dirancang secara menyeluruh dan bersinambungan walaupun RKT dibahagi kepada penggal persekolahan.
Guru hendaklah memilih  kegiatan yang lengkap  contohnya kegiatan yang menunjukkan sifat ansur maju dan kesinambungan.

·         Objektif
Sebelum seseorang guru dapat merangka RKT, objektif mata pelajaran  hendaklah difahami terlebih dahulu

·         Kemudahan Pendidikan Jasmani
Kemudahan seperti padang atau kawasan lapang  yang berhampiran dengan sekolah, jenis dan bilangan peralatan Pendidikan Jasmani , masa yang diperuntukkan  akan mempengaruhi pilihan kegiatan . Kemungkinan menggunakan peralatan reka ganti juga perlu difikirkan.

·         Keperibadian murid-murid
Latar belakang murid – pengetahuan  dan tahap kemahiran murid
Kesediaan murid – rancangan perlu sesuai dengan umur dan kemampuan murid

·         Keperincian
RKT bagi setiap semester persekolahan mestilah menyatakan butir-butir tentang pelajaran yang dirancang.
Catatan yang dibuat dalam ruangan secara teratur  di bawah tajuk-tajuk yang dicadangkan